Sunday, February 28, 2010

Teknologi Tanpa Wayar - Rangkaian 3G, WiFi dan WiMax

KELIRU dengan pelbagai istilah teknologi rangkaian masa kini terutama teknologi tanpa wayar atau bergerak? Baru sahaja kita mengenali teknologi 3G untuk rangkaian telefon bimbit berkelajuan tinggi dan WiFi, kini timbul pula istilah baru, WiMax.
Teknologi wayarles sememangnya mendapat perhatian di seluruh dunia dan di negara kita, ia dijangka boleh menjadi jawapan kepada masalah akses jalur lebar yang sangat rendah. Untuk menghubungkan manusia dan mesin, selain 3G yang merupakan teknologi untuk rangkaian data berkelajuan tinggi berasaskan telefon bimbit, terdapat juga WiFi atau WLAN (rangkaian kawasan setempat wayarles) yang merupakan teknologi wayarles berasaskan rangkaian komputer menggunakan standard IEEE 802.11. WiMax pula merupakan teknologi wayarles terkini yang dikatakan akan menggugat kehebatan 3G kerana kemampuan liputan dan kelajuan rangkaiannya. WiMax dikatakan boleh mengadakan liputan bagi kawasan sehingga 50 kilometer dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding 3G.
Bagaimanapun, apa yang hangat diperbincangkan pada masa ini ialah teknologi jalur lebar wayarles yang dikatakan mampu meningkatkan kadar penembusan pengguna jalur lebar di negara ini.Malaysia sememangnya agak ketinggalan dari segi bilangan pengguna jalur lebar berbanding negara-negara di rantau ini yang sedang membangun dengan pesat dalam teknologi itu.
Menurut IDC Malaysia, kadar penembusan jalur lebar di Malaysia hanya mencecah angka 2 peratus sahaja pada 2003, berbanding Singapura 30 peratus, Taiwan 40 peratus dan Korea Selatan lebih 60 peratus. Masalah akses jalur lebar di negara kita sememangnya serius. Sehubungan itu, baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jalur Lebar Negara bermatlamat untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar negara pada tahap antara 5 dan 10 peratus dari 2006 hingga 2008 atau mencapai 2.8 juta pengguna.
Memandangkan pelaksanaan jalur lebar menggunakan teknologi ADSL yang menggunakan kabel memerlukan masa dan kos yang tinggi untuk boleh dilaksanakan secara menyeluruh, maka teknologi wayarles sebenarnya boleh menjadi alternatif masa kini.

No comments:

Post a Comment